Assalamualaikum dan selamat sejahtera….
Semoga hari ini membawa seribu satu kebahagiaan dan kegembiraan buat semua…
Sejak kecil kita telah dilatih dan sering diingatkan oleh ibu bapa supaya menjadi insan yang berguna dan bertanggungjawab dalam setiap perkara yang dilakukan. Manusia tidak akan berhenti daripada belajar, bukan dalam bidang pendidikan tetapi dalam kehidupan. Ini kerana banyak perkara dalam kehidupan ini dipelajari apabila kita menjalaninya berseorangan mahupun berteman.
Setalah tamat pengajian di peringkat ijazah, saya melangkah ke alam pekerjaan dan belajar menjadi dewasa dengan mencari rezeki. Benarlah kata orang tua yang lebih lama makan garam kehidupan bahawa alam pekerjaan bukanlah seindah yang kita jangkakan. Ya, memang indah ketika mendapat gaji tetapi kehidupan yang kita jalani tidaklah seindah warna-warna potret yang kita lakarkan di alam mimpi.
Kehidupan saya seperti kosong setelah bekerja. Bermula dengan bangun, pergi kerja, kemudian pulang dan ketika malam menjengah, katil destinasi terakhir untuk hari tersebut. Bersukaria dan melepak bersama kawan setiap hari bukanlah jiwa saya, sekali sekala mungkin boleh. Untuk menghilangkan kebosanan, saya memasang impian untuk membela kucing dan akhirnya impian itu terlaksana dengan keizinan ibu.
Memang seronok membela kucing lebih-lebih lagi jika dibela ketika kecil. Entri Sayangku Jenny dan Jerry telah saya ceritakan sedikit mengenai kucing-kucing saya ini. Namun saya terleka seketika, memelihara anak kucing bukanlah seperti membeli anak patung, comel dipandang dan dipeluk yang kemudiannya dibiarkan disuatu sudut jika tidak diperlukan. Anak kucing ini bernyawa, bernafas seperti manusia yang inginkan keperluan asas untuk dipenuhi seperti makan, kasih sayang dan tempat tinggal. My Luvly Luv lah yang banyak membantu saya serta mengingatkan akan tanggungjawab yang saya perlu galas di saat saya mula membawa anak kucing untuk dipelihara.
Tanggungjawab yang bukan sedikit perlu saya galas kerana menjaga anak kucing yang mungkin boleh diibaratkan seperti menjaga manusia. Haiwan ini hanya kekurangan akal fikiran sebagai kayu ukur yang membezakan antara satu sama lain. Namun, saya tidak mengeluh kerana tanggungjawab ini menjadikan hari saya lebih ceria dengan melayan kerenah kucing dan menjadi orang yang lebih berdisplin. Jadual harian pula tidaklah terasa sepi dan kosong.
Jika ingin tahu bagaimana anak kucing ini merubah jadual harian saya serta membawa kebahagiaan kepada saya dalam menjalani kehidupan seharian, akan saya kongsi di entri yang lain. Kepada sesiapa yang berminat untuk memelihara kucing, mungkin perlu difikirkan sebaiknya akan tanggungjawab yang perlu digalas nanti.
Baiklah, sampai disini sahaja, semoga anda tetap ceria dan kebahagiaan sentiasa menyelimuti hari-hari anda. =)
No comments:
Post a Comment