Cinta Kami

Daisypath Anniversary tickers Daisypath Anniversary tickers

Sunday, August 22, 2010

++ RamaDhan : KenaNGan Kad RayA & SeTeM ++




Assalamualaikum & Salam semua...

Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua disamping memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya dalam bulan yang penuh mulia ini...

Hari ini merupakan hari ke-12 kepada seluruh umat islam menjalani ibadah puasa dan hampir setengah bulan Ramadhan kita berpuasa. Saya rindukan kemeriahan ketika saya masih di alam kanak-kanak menyambut bulan puasa dan syawal yang akan tiba. Teringat bagaimana susahnya ibu perlu mengejut kami adik beradik untuk bangun sahur dan keadaan kami masing-masing yang termenung apabila mencari 'mood' untuk makan sahur. Bila diingatkan lagi memang lucu. Memang tidak dapat dilupakan.

Satu lagi perkara yang saya rindukan ialah kiriman kad raya yang pada masa dulu begitu meriah dan dinanti-nantikan. Dahulu, apabila tibanya bulan Ramadhan dan bermulanya puasa, kami adik-beradik akan mula untuk membeli kad-kad raya untuk dihantar. Selalunya, selepas sahaja bersahur, kami akan menulis ucapan dan alamat untuk dihantar kepada orang yang ingin kami berikan.

Ketika inilah ibu menjadi tempat pertanyaan kami ayat yang sesuai untuk ditulis dalam kad tersebut manakala ayah sering menjadi tetamu pejabat pos kerana perlu membeli setem dan menghantar kad-kad raya kami untuk di pos. Seronok sungguh ketika itu, tetapi ada lagi perkara yang menyeronokkan kami, iaitu menunggu balasan kad-kad raya kami. Saya ingat lagi semasa menulis kad-kad raya ini kami pasti tidak akan lupa menulis *Jangan lupa balas * dan kesannya, setiap hari kami akan menunggu posmen datang menghantar surat. Posmen ketika itu bagaikan orang yang penting pada kami dan kami akan bersaing untuk cuba menjadi yang pertama mengambil sebarang surat yang dihantar. Lucu kan, tetapi itulah yang pernah terjadi. :-p

Akhirnya apabila tibanya akhir Ramadhan, kami adik beradik akan mengira jumlah kad raya yang kami terima dan siapa yang paling banyak menerimanya yang kunun-kununnya orang tersebutlah yang paling diminati. Kemudian, kami akan menghias rumah dengan kad-kad raya yang kami terima di dinding-dinding rumah kami. Lucu, apabila diingat kembali, tetapi ia akan jadi memori terindah buat antara kami adik beradik.

Tetapi, itu semua dulu, sekarang terdapat pelbagai kemudahan lain yang lebih cepat dan yang paling penting tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak. Sekarang, kita lebih selesa menghantar ucapan hari raya dengan hanya penghantaran melalui E-mail, SMS, dan Facebook. Ia lebih cepat dan mudah, namun ia sukar untuk disimpan sebagai kenangan. Kecanggihan dunia sekaranglah, kadangkala mengubah persepsi dan kemeriahan sambutan perayaan pada masa sekarang. Selain itu, mungkin kerana kos yang perlu kita laburkan untuk membeli kad dan setem juga menjadi puncanya.

Walaubagaimanapun caranya kita menghantar ucapan-ucapan ini, saya pasti tujuannya hanya satu iaitu berkongsi rasa dan mengeratkan hubungan silaturrahim disamping menunjukkan bahawa mereka juga diingati oleh kita. Walaupun jauh namun masih dekat di hati. Saya menyayangi ibu, ayah dan adik-adikku... Saya merindui mereka...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...