Cinta Kami

Daisypath Anniversary tickers Daisypath Anniversary tickers

Thursday, October 14, 2010

++Arah TujUan++

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Sejak di peringkat sekolah rendah, pasti kita masih ingat guru pernah bertanya kepada kita 'Jika sudah besar nanti apa cita-cita kita dan ingin menjadi apa?' Saya yakin pasti masing-masing ingin menjadi doktor, juruterbang, polis, cikgu, dan lain-lain lagi. Pelbagai impian yang kita semaikan.

Saya juga begitu, tidak ketinggalan untuk menyemai impian. Hanya dengan impian itulah yang membuatkan kita terus maju dan cuba menggapai apa yang kita impikan. Tetapi jalan yang kita bina itu tidak semestinya sampai ke tempat tujuan kita, kerana kadangkala ia pasti terpesong kerana keadaan persekitaran mahupun tahap keazaman kita.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, banyak manakah usaha yang telah saya laburkan untuk impian saya itu. Cukupkah dengan apa yang ada dan bolehkah ia membantu. Agaknya, kenapa kita membina impian dan adakah impian itu matlamat hidup kita? Ada juga yang membahagikan matlamat untuk masa singkat dan matlamat untuk jangka masa panjang.

Tetapi bila diingat-ingatkan semula, kenapa sekarang apabila ditanya oleh pensyarah, 'Apa yang kamu nak lakukan atau kerja apabila keluar dengan segulung ijazah?', masing-masing senyap dan membisu seribu bahasa. Bukan lagi seperti dahulu ketika kecil di mana masing-masing berebut untuk menyatakan impian mereka.

Mungkin kerana tidak tahu jalan yang ingin dipilih serta keadaan yang meminta kita memikirkan setiap keputusan dan akibat hasil keputusan yang dibuat. Itu belum lagi dicampur dengan kehendak hati pasangan, hati keluarga dan lain-lain lagi.

Semoga apabila sampai saat waktunya nanti, saya lebih yakin untuk membuat keputusan.

Tuesday, October 12, 2010

::SeKelip MaTa::

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Hari ini merupakan hari kedua sejak tragedi 10.10.10. Tragedi ngeri ini, meragut banyak nyawa disamping kesesakan yang teruk berlaku pada hari berkenaan. Saya tau pasti keluarga yang kehilangan ahli keluarga masih berkabung serta trauma dengan apa yang berlaku. Saya turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. Semoga mereka tabah menghadapi ujian daripada-Nya.

Lewat petang tadi saya ada melawat beberapa blog dan akhbar online untuk mengetahui berita terkini mengenai tragedi ini. Saya ada terbaca beberapa komen daripada pihak yang terlibat yang marah dengan sikap segelintir masyarakat kita ini. Antara isu yang berbangkit ialah sikap pemandu yang menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas. Tahukah mereka, sikap mereka ini menyusahkan banyak pihak ?

Misalnya, ketika tragedi ini, kerana sikap mereka inilah pihak penyelamat mengambil masa yang lama untuk tiba ke lokasi kejadian. Bayangkan lah kerana sikap yang mementingkan diri dan tidak sabar ini, nyawa mangsa yang memerlukan bantuan segera tidak dapat diselamatkan. Walhal pihak berkuasa telah menetapkan RM300 jika menggunakan lorong kecemasan tetapi malangnya ia seperti tidak berkesan dan tidak diendahkan oleh pemandu-pemandu ini.

Agaknya cara yang bagaimana lagikah untuk memberi pengajaran kepada segelintir masyarakat ini jika harga denda yang dikenakan tidak berkesan.

Namun ketika ini, saya bersyukur kepada tuhan kerana masih diberi peluang untuk bernafas di dunia ini, kerana pada hari berkenaan saya turut menggunakan laluan tersebut. Tuhan masih memberi peluang kepada saya untuk mengabdikan diri pada-Nya disamping bertaubat atas segala kesilapan yang telah saya lakukan. Kematian boleh terjadi dimana-mana dan kita sendiri tidak mengetahui bila nyawa ini akan diambil oleh-NYA.

Semuanya sudah tertulis oleh-NYa, berapa lamakah kita akan hidup di dunia yang fana ini. Kita harus mengingati MATI, kerana dengan perkataan MATI kita akan lebih bersyukur dengan apa yang ada serta tidak terlalu leka dengan nikmat dunia ini. Ketika menulis entri ini, saya juga turut mengingati diri ini agar tidak terlalu leka dengan apa yang ada. Ini kerana segala di dunia ini adalah pinjamannya dan suatu hari nanti kita perlu memulangkannya kepada pemiliknya.


# Al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi ngeri 10.10.10.

Sunday, October 10, 2010

::PengaLaman Baru::


Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Hari ini, tambah satu lagi aktiviti baru dalam diari hidup saya. Hari ini pertama kalinya saya mengikuti aktiviti pertandingan kereta Go-kart. Bukannya tidak pernah di ajak untuk mengikuti aktiviti seperti ini tetapi kerana kawasan aktivitinya yang agak jauh tidak mengizinkan kehadiran saya ke sana.

Tarikh 10.10.2010 merupakan tarikh idaman buat mereka yang ingin melangsungkan sebarang majlis sama ada pertunangan, perkahwinan dan lain-lain lagi. Namun pada 10.10.10, saya menghabiskan hari saya dengan mengikuti acara Formula Varsiti anjuran UTEM yang bertempat di Stadium Hang Jebat sebagai sokongan moral kepada My LuvLy Luv yang turut terlibat .
Perjalanan yang hanya mengambil masa lebih kurang sejam dari Port Dickson memang berbaloi. Keadaan cuaca yang baik dengan angin sepoi-sepoi bahasa walaupun sedikit panas tidak membataskan saya untuk cuba menyesuaikan diri dengan aktiviti tersebut.

Acara dimulakan dengan aktiviti perasmian oleh YB Datuk Ir Idris Harun dan lebih kurang jam sebelas tengah hari perlumbaan Go-Kart dimulakan. Pertandingan ini melibatkan beberapa institusi pengajian awam dan juga swasta. Menurut YB Datuk Ir Idris Harun dalam ucapan beliau, aktiviti sebegini sebenarnya dapat membantu remaja mengisi masa mereka daripada aktiviti yang tidak sihat. Selain itu juga, melalui acara sebegini kita dapat melihat idea-idea baru daripada generasi muda zaman sekarang.

Saya akui, memang saya kurang pengetahuan dalam bidang automotif ini dan saya tidak akan berhenti untuk belajar mengenainya selagi berpeluang. Melalui aktiviti sebegini saya banyak mempelajari perkara baru walaupun ia mengambil masa buat saya untuk memahaminya. Saya seronok dan saya bahagia pada hari ini. Berbaloi buat saya memandu sejauh itu berseorangan untuk memberi sedikit sokongan kepada My LuvLy Luv.

Walaupun, pasukan yang saya sokong tidak berjaya tetapi saya tahu, banyak pengetahuan dan kenangan yang lebih berbaloi buat mereka yang telah mereka perolehi. Sekejap bersama pasukan ini, saya sendiri dapat rasa hubungan yang rapat antara mereka. Mungkin kerana banyak menghabiskan masa bersama-sama antara mereka untuk menyiapkan projek ini menjadikan hubungan semakin akrab. Tiada perbezaan pangkat dan tiada jurang umur antara mereka.

Terima kasih My LuvLy Luv kerana memberi peluang ini. Peluang kepada saya untuk menambah sedikit ilmu pengetahuan. Di sini saya kongsi sedikit gambar kenangan semasa berada di sana.

Antara gambar kenangan 'Formula Varsiti' di Stadium Hang Jebat :




Saturday, October 9, 2010

Siapa Kamu???

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Saya harap orang sekeliling saya bergembira dengan apa yang mereka lakukan. Saya turut gembira jika mereka yang saya sayangi berbahagia dan gembira.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri. Siapa diri ini yang sebenarnya. Adakah kita berpura-pura dengan diri sendiri jika kita menyembunyikan apa yang kita rasa. Saya rasa takut tetapi saya berpura-pura yang saya berani. Saya sedih tetapi saya berpura-pura gembira. Saya tidak sekuat mana tetapi saya tunjuk gagah.

Adakah saya memang berani, sentiasa gembira dan gagah perkasa. Cukup kenalkah saya dengan diri sendiri. Semoga saya dan insan-insan yang saya kasihi akan senantiasa kuat dan tabah menghadapi ujiannya.


*Saya rindukan dia, kamu dan mereka...

::Hobi ~ BuKu::

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Hari minggu kembali lagi, agaknya apa aktiviti yang akan dilakukan ye. Pasti ada yang sudah merancang aktiviti serta destinasi yang ingin di tuju. Mungkin ada juga yang menghabiskan hari minggu dengan cuba menyuburkan kembali hobi-hobi yang sudah lama terkubur kerana kekangan masa.

Ermm, apa yang saya nak lakukan esok ya. Jika tidak silap, ibu ada ajak untuk melawat adik yang berada di matrikulasi Kuala Pilah. Adik ajak pergi shopping katanya. Ye lah, semenjak sibuk dengan aktiviti kolej dah lama jugak die tak balik ke rumah. Kalau dulu asal hujung minggu je dah riuh rumah ni dengan suaranya. Saya merindui suasana yang riuh rendah apabila kami adik beradik bercuti serentak. Rindunya pada mereka.

Sebenarnya bukan pasal aktiviti hujung minggu yang saya hendak sentuh tetapi tentang novel-novel yang baru sahaja saya beli beberapa hari lepas. Banyak jugak la yang saya dah laburkan, nak buat macam mana mudah sangat tergoda dengan sinopsis buku. Tetapi selalunya saya akan berlaku adil iaitu akan pastikan mesti ada sebuah novel melayu dan sebuah novel english.

Mungkin sesetengah orang lebih suka meminjam buku daripada membeli tetapi bukan saya. Saya lebih suka membeli untuk dijadikan koleksi. Lagipun buku-buku ini kadang-kadang boleh diulang baca banyak kali dan mungkin juga adik-adik yang lain membacanya. Tetapi, yang paling saya pantang, sikap orang yang meminjam dan membacanya. Boleh hendak meminjam tetapi kena lah terima sikap saya yang inginkan novel-novel saya dalam keadaan baru sentiasa. Bukan apa, kadangkala novel-novel tersebut memang tidak akan dapat saya cari ganti di mana-mana lagi jika ianya rosak mahupun hilang.

Jika ditanya, memang hobi saya membaca. Saya membaca, segala bahan yang saya rasakan menarik dan saya boleh memahami apa yang hendak disampaikan oleh penulis. Pernah saya membaca sebuah penulisan novel yang mempunyai jalan cerita menarik tetapi ayat yang digunakan serta beberapa isu yang cuba diangkat oleh penulis membuatkan saya tidak memahami keseluruhannya.

Mungkin saya yang masih kurang penghayatan untuk memahami apa yang ingin disampaikan. Oleh itu, hujung minggu ini saya hendak memberi sepenuh penghayatan terhadap novel-novel yang saya baru beli ini.

Kepada semua, gunakanlah masa yang ada sebaiknya. Cuba fikir-fikirkan, apakah hobi anda dan adakah anda sudah lama tidak melakukannya. Jika sudah lama berkubur, cubalah suburkannya kembali.



* My LuvLy LuV, Semoga berjaya dengan pertandingan Go-Kart anda....Chaiyok..chaiyok...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...