Cinta Kami

Daisypath Anniversary tickers Daisypath Anniversary tickers

Sunday, October 31, 2010

:::Kata-kataKu:::

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Agaknya dalam sehari berapa banyak perkataan yang kita tuturkan ya. Ermm tak terkira agaknya, lagi-lagi jika seseorang itu memang banyak bercakap dan tak boleh duduk diam. Saya tidak la hendak menghukum sesiapa kerana bercakap tetapi kadangkala perkataan yang keluar dari mulut seseorang itu boleh melambangkan peribadinya.

Perkataan yang lahir dari mulut kita itu kadangkala boleh menjadi selembut bicara dan ia juga boleh menjadi setajam pedang. Saya yakin, setiap individu pasti pernah berjumpa dan berhadapan sendiri dengan insan-insan yang mungkin hanya berkata-kata mengikut sedap mulut menutur tanpa mengambil kisah telinga insan lain yang mendengarnya.

Saya bukan hakim yang berhak menjatuhkan hukuman, saya sendiri tidak boleh lari daripada kesilapan. Seringkali kita merasakan perkataan yang kita gunakan boleh diterima orang lain tetapi kita sebenarnya tidak sedar kata-kata itu telah membuatkan ada hati yang terasa. Saya tahu, saya pernah membuat insan yang saya sayangi terasa dengan kata-kata saya tanpa saya sedari. Saya terleka dengan niat untuk bergurau tetapi rupanya ia mengguris perasaan insan tersebut.

Kadangkala, walau seribu kemaafan pun yang kita hulurkan namun bukan mudah untuk menyembuh kesan luka yang kita tinggalkan dihati mereka. Oleh itu, jagalah perkataan supaya tiada hati yang akan terluka dan kita disayangi oleh insan lain.

Ampun dan maaf saya hulurkan jika ada membuat sesiapa terasa dengan hasil penulisan saya.

Thursday, October 21, 2010

::SeNi ItU InDah::


Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya bersama rakan-rakan mengikuti aktiviti di DBKL. Pada mulanya kami hanya diberitahu diajak menonton tarian tradisonal tetapi setelah tiba di sana barulah kami mendapat gambaran sebenar keadaan di sana.

Antara VIP yang hadir ialah Dato' Norliza Rofli (Ketua Pengarah JKKN), Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) dan isteri, Datin Seri Masnah Rais. Kami tiba di DBK, betul-betul semasa majlis hendak bermula, seperti tetamu kehormat la pulak. Ini semua gara-gara kelas habis lewat, tapi nasib baik tiada persembahan tarian yang sudah bermula.

Seperti biasa, acara dimulakan dengan nyanyian NEGARAKU, kemudian dengan kata alu-aluan pengacara majlis, ucapan daripada Dato' Norliza Rofli (Ketua Pengarah JKKN), diikuti persembahan dan perasmian oleh
Datin Seri Masnah Rais dengan menaburkan bunga rampai kepada penari-penari sebagai simbolik perasmian acara tersebut.

Majlis yang dipanggil 'Malam Gala Inspitari' merupakan majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang bertujuan memberi peluang kepada Kumpulan Kesenian setiap negeri untuk berkumpul menggarap daya cipta untuk melahirkan produk-produk tarian kreasi baru.

Unik dan halus gerak tari yang dipersembahkan dan majlis sebegini patut diteruskan agar ia tidak hilang ditelan zaman. Walaupun sekarang telah wujud pelbagai tarian moden namun masih ramai yang meminati tarian tradisional dan buktinya apabila Dewan DBKL penuh dengan kehadiran tetamu.

Saya akui, bukan selalu berpeluang melihat acara sebegini dan pengalaman ini tidak akan dilupakan. Disini, saya turut berkongsi sedikit gambar kenangan kami:








Tuesday, October 19, 2010

UBat CinTa...???

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog saya ini. Keadaan kesihatan yang agak merosot menyukarkan saya untuk meluangkan masa untuk menulis dan berkongsi dengan sesiapa yang sudi membacanya. Sekarang saya sudah kembali walaupun masih ada sedikit batuk dan selsema yang kedengaran dalam keadaan bilik saya yang sepi ini. Macam cerita hantu la pulak.

Saya demam, batuk dan selsema pasti ada ubatnya. Hanya perlu pergi hospital dan jumpa doktor (walaupun hampir dua jam juga lah saya bertapa dihospital bersama Cik A) namun masih ada penawarnya. Insyaallah dengan izin tuhan dalam berapa hari lagi sembuh sepenuhnya. Tetapi bagaimana pula dengan penyakit cinta, adakah penawarnya?

Dalam percintaan pasti wujudnya perasaan rindu, sayang, cemburu, sedih dan bermacam-macam perasaan lagi. Saya pasti jika sakit itu yang kita alami, pasti penawarnya ada pada orang yang memegang hati kita. Tetapi bagaimana sakit yang kita rasai berpunca daripada orang yang kita sayangi tetapi pemiliknya sudah lari dari hidup kita. Pasti sakit yang hadir sukar untuk disembuhkan ditambah pula penawarnya dibawa pergi.

Mudah untuk orang berkata, yang pergi dan hilang akan tumbuh serta berganti dengan yang baru. Bukan mudah untuk mencantumkan kembali hati yang separuh diberi kepada orang dan kemudiannya dicantum semula untuk menjadi satu seperti sediakala. Tetapi yang saya pasti masa akan mengubati segalanya, walaupun tiada siapa yang tahu tempoh masa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk mengubatinya.

Wajah yang ceria dan senyuman yang senantiasa terukir itu belum tentu tiada gelora yang melanda. Percintaan ini seperti suatu pertaruhan, mungkin jalan yang dipilih adalah yang terbaik dan mungkin juga yang kita pilih meminta seribu satu pengorbanan tetapi masih bukan yang terbaik buat kita. Saya yakin ramai yang pernah mendengar ungkapan ini ' Tuhan mempertemukan kita dengan orang yang salah untuk mempertemukan kita dengan insan yang lebih baik suatu hari nanti'.

Kepada sesiapa yang kehilangan, tabahlah wahai hati, semoga suatu hari nanti bertemu insan yang lebih baik dan ketika itulah kamu tidak akan menyesal dengan segala apa yang telah berlaku.

Kepada insan yang masih bersama insan disayangi, hargailah mereka ketika masa masih ada semoga sentiasa berbahagia.


# My LuvLy Luv, saya sentiasa menyayangimu...

Thursday, October 14, 2010

++Arah TujUan++

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Sejak di peringkat sekolah rendah, pasti kita masih ingat guru pernah bertanya kepada kita 'Jika sudah besar nanti apa cita-cita kita dan ingin menjadi apa?' Saya yakin pasti masing-masing ingin menjadi doktor, juruterbang, polis, cikgu, dan lain-lain lagi. Pelbagai impian yang kita semaikan.

Saya juga begitu, tidak ketinggalan untuk menyemai impian. Hanya dengan impian itulah yang membuatkan kita terus maju dan cuba menggapai apa yang kita impikan. Tetapi jalan yang kita bina itu tidak semestinya sampai ke tempat tujuan kita, kerana kadangkala ia pasti terpesong kerana keadaan persekitaran mahupun tahap keazaman kita.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, banyak manakah usaha yang telah saya laburkan untuk impian saya itu. Cukupkah dengan apa yang ada dan bolehkah ia membantu. Agaknya, kenapa kita membina impian dan adakah impian itu matlamat hidup kita? Ada juga yang membahagikan matlamat untuk masa singkat dan matlamat untuk jangka masa panjang.

Tetapi bila diingat-ingatkan semula, kenapa sekarang apabila ditanya oleh pensyarah, 'Apa yang kamu nak lakukan atau kerja apabila keluar dengan segulung ijazah?', masing-masing senyap dan membisu seribu bahasa. Bukan lagi seperti dahulu ketika kecil di mana masing-masing berebut untuk menyatakan impian mereka.

Mungkin kerana tidak tahu jalan yang ingin dipilih serta keadaan yang meminta kita memikirkan setiap keputusan dan akibat hasil keputusan yang dibuat. Itu belum lagi dicampur dengan kehendak hati pasangan, hati keluarga dan lain-lain lagi.

Semoga apabila sampai saat waktunya nanti, saya lebih yakin untuk membuat keputusan.

Tuesday, October 12, 2010

::SeKelip MaTa::

Assalamualaikum & Salam semua...
Semoga hari ini merupakan hari yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan buat semua...

Hari ini merupakan hari kedua sejak tragedi 10.10.10. Tragedi ngeri ini, meragut banyak nyawa disamping kesesakan yang teruk berlaku pada hari berkenaan. Saya tau pasti keluarga yang kehilangan ahli keluarga masih berkabung serta trauma dengan apa yang berlaku. Saya turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. Semoga mereka tabah menghadapi ujian daripada-Nya.

Lewat petang tadi saya ada melawat beberapa blog dan akhbar online untuk mengetahui berita terkini mengenai tragedi ini. Saya ada terbaca beberapa komen daripada pihak yang terlibat yang marah dengan sikap segelintir masyarakat kita ini. Antara isu yang berbangkit ialah sikap pemandu yang menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas. Tahukah mereka, sikap mereka ini menyusahkan banyak pihak ?

Misalnya, ketika tragedi ini, kerana sikap mereka inilah pihak penyelamat mengambil masa yang lama untuk tiba ke lokasi kejadian. Bayangkan lah kerana sikap yang mementingkan diri dan tidak sabar ini, nyawa mangsa yang memerlukan bantuan segera tidak dapat diselamatkan. Walhal pihak berkuasa telah menetapkan RM300 jika menggunakan lorong kecemasan tetapi malangnya ia seperti tidak berkesan dan tidak diendahkan oleh pemandu-pemandu ini.

Agaknya cara yang bagaimana lagikah untuk memberi pengajaran kepada segelintir masyarakat ini jika harga denda yang dikenakan tidak berkesan.

Namun ketika ini, saya bersyukur kepada tuhan kerana masih diberi peluang untuk bernafas di dunia ini, kerana pada hari berkenaan saya turut menggunakan laluan tersebut. Tuhan masih memberi peluang kepada saya untuk mengabdikan diri pada-Nya disamping bertaubat atas segala kesilapan yang telah saya lakukan. Kematian boleh terjadi dimana-mana dan kita sendiri tidak mengetahui bila nyawa ini akan diambil oleh-NYA.

Semuanya sudah tertulis oleh-NYa, berapa lamakah kita akan hidup di dunia yang fana ini. Kita harus mengingati MATI, kerana dengan perkataan MATI kita akan lebih bersyukur dengan apa yang ada serta tidak terlalu leka dengan nikmat dunia ini. Ketika menulis entri ini, saya juga turut mengingati diri ini agar tidak terlalu leka dengan apa yang ada. Ini kerana segala di dunia ini adalah pinjamannya dan suatu hari nanti kita perlu memulangkannya kepada pemiliknya.


# Al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi ngeri 10.10.10.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...